BismillahirRahmanirRahim, NahmaduhuWanusolliWanusallimu'AlaRasulihilKariim, AmmaBa'd,
AssalamualaikumWarahmatullahiWabarakaatuhu, Yang dimuliakan Tuan Imam, ahli-ahli masjid, ahli-ahli jemaah, hadirin dan hadirat yang dimuliakan Allah Taala.
Mari kita panjatkan kesyukuran kita kepada Allah Taala yang telah memberi nikmat kepada kita tidak terhitung banyaknya. Nikmat yang paling besar dan amat bernilai sekali ialah nikmat iman dan islam dan ia kekal sehingga ke hari akhirat.
Tuan-tuan yang dimuliakan,
Mari kita ulang lagi kesyukuran kita kepada Allah Taala sambil menceritakan nikmatNya terhadap kita seperti firman Nya "Maka nikmat TuhanMu hendaklah kamu ceritakannya". Oleh kerana jutaan manusia di atas muka bumi ini, tetapi kita adalah golongan yang paling sedikit dapat berada di dalam majlis ini iaitu Majlis Fikir Atas Iman Dan Amal jika hendak dibandingkan ramai manusia lain berada di majlis-majlis lalai. Firman Allah "Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi dan Kami jadikan untuk kamu(berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur"[Al-A'raf 10].
Tuan-tuan,
Sifat syukur adalah sifat yang paling penting di antara 10 sifat yang terpuji kerana ia adalah sumber asas bagi semua sifat 10 yang tersebut. Tanpa syukur, kita tidak akan mampu bersabar. Lantaran itu kita pasti tidak akan ikhlas. Bani Israel adalah kaum yang paling degil di atas muka bumi ini. Maka ubat yang paling mujarab untuk orang yang degil ialah mengingatkan mereka kepada nikmat-nikmat Allah agar hati menjadi lembut seperti firman Allah "Wahai Bani Israil! ingatlahlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun."[Al-Baqarah 40].
Banyak lagi ayat-ayat yang memerintahkan supaya mengingati nikmat-nikmat Allah yang ditujukan kepada Bani Israil seperti di dalam surah Al-Baqarah ayat 47, 122, 152, 231, Ali-Imran 174 dan 198.
Semua nikmat yang kita rasai akan habis setelah habisnya dunia ini atau kita meninggal dunia kecuali nikmat iman dan islam. Nikmat iman dan islam akan kekal buat selama-lamanya.
Tuan-tuan yang dimuliakan oleh Allah Taala,
Kejayaan manusia dan jin terletak di dalam agama iaitu sejauh mana mereka dapat mentaati perintah Allah dan menuruti sunnah Rasulullah s.a.w. Apakah agama itu? Agama itu ialah segala peraturan Allah yang ditetapkan terhadap kita atau undang-undang. Allah Taala yang telah menciptakan manusia, jin dan semua sekali makhluk-makhlukNya dan Pencipta Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya.
Bagaimana untuk seorang hamba itu mampu mematuhi agama Allah s.w.t. ini? Tidak lain ialah dengan kekuatan iman. Iman ialah suatu dorongan dari dalam hati untuk membawa manusia kepada perintah-perintah Allah walau pun bertentangan dengan kehendak nafsu atau pemikiran manusia itu sendiri. Pemikiran manusia tidak akan sampai kepada ilmu Allah yang diumpamakan lautan dan setitik daripadanya adalah pengetahuan manusia. Pemikiran manusia tidak dapat menjangkau ilmu Allah padahal Allah amat mengetahui yang terbaik untuk mereka.
Rasulullah s.a.w. telah mengusahakan iman terhadap para sahabatnya selama 10 tahun di Makkah sebelum datang perintah-perintah lain. Perintah beriman adalah perintah yang pertama diturunkan seperti firmanNya dalam surah Al-Ahqaf ayat 31 ayat yang diturunkan di Mekah “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Dengan iman yang telah ada ini Allah akan menurunkan ketenangan dan menambahkan lagi iman kita apabila kita usaha atas iman. Firman Allah "Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"[Al-Fath 4].
Iman ertinya percaya iaitu seseorang itu dikatakan percaya kepada perkhabaran walhal tidak diketahui perkara yang sebenarnya lagi. Setelah diketahui sesuatu kebenaran, ia dinamakan Yakin, tetapi ia bersumber atau berasaskan iman juga.
Kita hendaklah percaya bahawa di sebalik perintah-perintah Allah itu ada janji-janji Allah dan janji-janji Allah adalah benar. Di sebalik janji-janji Allah itu terdapat pertolongan Allah dan pertolongan Allah itu benar. Di dalam surah Al-Fatihah kita menyebut “Hanya padaMu kami sembah(patuh) dan hanya padaMu kami minta pertolongan.”
Allah yang berkuasa, makhluk tidak ada kuasa walau seberat zarah pun. Siapa yang mengatakan bahawa ada kuasa selain dari kuasa Allah walau seberat zarah pun, bermakna dia telah mensyirikkan Allah. Oleh itu kita wajib meminta pertolongan Allah sehingga apa perkara pun yang sekecil-kecil pun seumpama meminta sembuh penyakit dengan sebab makan ubat.
1)Bicara Tauhid
No comments :
Post a Comment