بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله حمدا كثيرا على نعمه والصلاة والسلام على رسوله وبعد فقال بن عطاء الله من علامة الاعتماد على العمل نقصان الرجاء عند وجود الزلل
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian bagi Allah sebanyak-banyak kepujian atas nikmatNya, selawat dan salam ke atas RasulNya.Kata Ibnu 'Athaillah (Setengah dari tanda orang yang berpegang kepada amal, kurang harapan ketika berlaku kesilapan.)
Berpegang kepada amal pada pandangan syari'ah adakah ia perkara yang terpuji atau perkara keji? Kata Tok Ayah "Hendaklah anda berpegang kepada redha Allah terhadap anda dan habuan yang telah dijanjikannya dengan amal yang anda lakukan bahkan berpeganglah pada amalmu untuk mendapat kasih Allah serta kurniaanNya.
Adakah ini dalilnya? Ya, kerana hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan lain-lain (Tidak akan masuk syurga seseorang dari kamu dengan amalannya). Mereka bertanya 'Sekalipun engkau Ya Rasulullah? Sabdanya (Sekalipun saya melainkan Allah memasukkan saya ke dalam syurga dengan rahmatnya).
Kalau begitu, maka tidakkah amal akan diberi pahala untuk masuk ke syurga? Maka maksud yang dikehendaki apabila berlaku taat itu ialah bahawa anda suka untuk mendapat redha Allah serta pahalanya dan bercita-cita untuk mendapat keampunan, kemuliaan dan kurniaanNya. Oleh itu tidaklah diberi pahala jika itu yang berlaku. (fikir-fikirkanlah!)
Pada pendapat saya(penterjemah) "Paling mudah jawapannya ialah kita beramal semata-mata mengharapkan belas kasihan rahmat dari Allah Taala, kemudian terpulanglah kepada Allah untuk memberikan pahala dan sebagainya sehinggalah Allah memasukkan kita ke dalam syurga".
Pada matan di atas kata Tok Ayah : Di antara dalil yang nyata orang yang berpegang kepada amal dan tidak berpegang kepada kurniaan Allah ialah kurang harapannya terhadap rahmat Allah dan keampunanNya ketika tergelincir di dalam kesalahan dan dosa.
Bermakna pada ketika anda mengharapkan kemulian dan anugerahNya, anda hanya bergantung kepada amal untuk mendapatkannya. Maka apabila sedikit amal dan banyak dosa, sedikitlah harapan, besarlah kekecewaan. Kiaskanlah ketika anda bergantung kepada amal atau anda bergantung kepada rahmat kuniaanNya semata-mata.
Kata-kata hikmah Tok Ayah yang amat mendalam pengertiannya ini akan menjauhkan kita dari aqidah ahlis sunnah setelah jelas pada kalam Sayyidina Rasulullah s.a.w. kerana kita telah jauh dari didikan Baginda. Nanti kami akan jelaskan dengan terperinci.
Mula-mula kita patut mengetahui kata-kata hikmah Tok Ayah adalah terbahagi kepada 3 bahagian.
1. Ia berkisar di dalam perbincangan Tauhid.
2. Ia berkisar di bawah tajuk Akhlak.
3. Ia berkaitan dengan perjalanan dan penyucian hati dari kekotoran hawa nafsu.
Kita mulakan penjelasan mengenai iktiqad yang jauh dengan menghuraikan hikmah yang pertama. Kata pengarang Jauharah Tauhid :
Maka sekiranya kita diberi pahala adalah semata-mata kurniaanNya dan sekiranya kita diazab adalah kerana semata-mata keadilanNya. Ini ialah aqidah yang wajib setiap insan muslim menerapinya kerana ia merupakan aqidah para sahabat salafus salih R.hum.
Ada yang berpendapat bahawa jelas pahala itu berhak untuk diperolehi hanya apabila kita melakukan amal soleh tetapi apabila kita mengamat-amati dan menajamkan pandangan mengenai perhubungan di antara hamba dan tuannya, pengertian ini tidak akan berlaku.
Bagaimana pula pendapat anda bahawa "Allah hanya memberi pahala dengan sebab amal saya"? Itu bermakna Allah akan memasukkan saya ke dalam syurga dengan sebab amalan saya bahawa Allah melihat dan menilai syurga dengan pahala yang tidak boleh diumpamakan dengan dirham atau harta kewangan tetapi pahala itu diukur atau diertikan dengan umpama kadar jauhnya dari melakukan perkara haram dan kadar penghampirannya kepada ketaatan. Umpamanya apabila anda melakukan ketaatan dengan sendirinya anda akan menjauhi tegahan.
Anda akan membayar harga dan layak mendapat barangan yang anda beli seperti anda berkata "Jika saya tidak diberi pahala/upah, saya tidak akan beramal/bekerja". Adakah itu erti kata-kata anda? Adakah itu hakikat sebenarnya seperti apa yang anda katakan? Seperti juga anda katakan "Jika saya menunaikan perintah Allah maka layaklah saya diberi syurga" dengan dahi berpeluh kerana bersunguh-sungguh. Lengkap seperti apa yang anda kata dengan penuh yakin bahawa anda ada wang anda layak membeli barang.
Jika anda merenung dan berfikir sedalam-dalamnya, anda akan dapati kata-kata hikmah Tok Ayah sangat bertentangan dengan wujudnya perbezaan yang sangat ketara. Seperti anda meletakkan harga bayaran sebuah kebun untuk anda miliki. Mustahil anda akan memilikinya tanpa bayaran. Kalau begitu Allah juga akan berkata "Keluarlah dari bumiKu kerana kamu tidak tunaikan bayaran yang sempurna tanpa sedikit pun dikurangkan bayaran ketaatan itu". Ini kerana keadilan hukum yang mana Allah sendiri melakukan dengan kehendakNya.
Itu adalah hubungan antara hamba dan tuannya pada ketika Allah memerintahkan anda supaya melazimkan ketaatan dan menegah anda dari perkara yang diharamkanNya, maka Allah memberi taufik kepada anda untuk anda menunaikan segala kewajiban dan menjauhi segala tegahanNya. Percanggahan di sini adalah dalam bentuk umum. Maka siapakah pula yang menjadikan anda mampu untuk mengerjakan solah ketika anda hendak menunaikannya?
Siapakah yang memberi anda kemampuan untuk mengerjakan puasa ketika anda hendak melaksanakannya? Siapakah pula yang melapangkan dada anda untuk beriman? Bukankah Dia yang memulakan sesuatu perkara iaitu Allah?
Kalau begitu kenapa di sana ada perbezaan besar antara dua bentuk? Siapakah pula yang menjadikan anda kasih terhadap keimanan dan membenci kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan? Siapa? Tidak lain ialah Allah s.w.t…. Siapakah pula yang melapangkan dada anda untuk datang ke satu masjid dan menghadiri solah berjemaah kemudian duduk di dalam majlis dan mendengar kalimah yang menghampirkan diri anda kepada Allah s.w.t.? Siapa? Tidak lain ialah Allah s.w.t.. oleh itu apa pula yang digambarkan oleh khayalan anda? Bahawa jika anda taat diberi pahala dan dinisbahkan menjadi milik anda umpama harta tebusan seorang hamba untuk membebaskan dirinya dari penghambaan dan memiliki syurga. Bagaimana hendak dikiaskan wujud perbezaan besar di sini?
Oleh itu tidak harus anda merasa berhak memiliki dari milik Allah semuanya seperti syurga, pahala, kuasa dan kehendak sehingga tidak ada sesuatu pun melainkan bersumber dari milik Allah. Sekali pun dengan anda laksanakan segala tuntutan, menjauhi segala tegahanNya dan beramal segala kebajikan, tidak harus anda mengiktiqadkan bahawa ia menjadi milik anda kerana dibimbangkan ia akan menjadi sebahagian dari jenis-jenis syirik. Ini adalah kerana iktiqad ini memberi pengertian bahawa kudrat untuk melaksanakan solah itu hasil dari diri anda bererti juga segala pergerakan dari sifat ketaatan itu adalah bersumber dari diri anda sendiri atau kehendak mengerjakan solah itu milik anda, kudrat mengerjakannya adalah milik anda dan amal kesemuanya adalah milik anda yang anda merasainya tidak ada kaitan dengan Pencipta sekelian alam. Jika demikian, seolah-olah anda perlakukan seperti keadaan membeli dan menjual. Kalau begitu anda hendak menuntut harga..! Begitukah juga perlakuan antara hamba dan tuannya? Di manakah kedudukan anda ketika anda lakukannya sebagai hamba Allah?
Rasulullah s.a.w. telah mengajar para sahabat satu kalimah dengan erti di sebaliknya "Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah". Di manakah anda ketika para sahabat mempunyai iman yakin yang tidak ada keraguan bahawa Allah yang mencipta perbuatan hambaNya? Siapakah yang menjadikan perbuatan kita padahal kita hamba yang bekerja? Kita menyangka bahawa kita tidak dikenakan satu perjanjian pun dalam fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah seperti golongan Al-Asy'ari dan Al-Maturidi. Maka pada ketika kita menyebut dan memuji Allah dengan lisan kita, tidak harus kita bersyukur kepada Allah yang mengerakkan lidah kita. Kita pun tidak perlu memuji Allah ketika bangun di waktu malam bertahajud dengan berkata "Kalau tidak kerana kasihMu padaku, kalau tidak kerana bantuan inayahMu, kalau tidak kerana kehalusan budiMu, nescaya aku terus hanyut di dalam tidurku tetapi Engkau jadikan aku dapat berdiri di hadapanMu.
Satu kesah seorang gadis telah bekerja dengan sebuah keluarga kaya. Suatu malam ketua keluarga itu bangun di waktu malam, lalu dia melihat gadis itu sedang mengerjakan solat tahajjud di rumah itu. Dia mendengar gadis itu berdoa di dalam sujud " Ya Allah , demi kasihMu terhadapku supaya Engkau membantuku, maafkanlah daku." Ketua keluarga itu pun hairan dan menunggu sehingga gadis itu memberi salam. Setelah selesai memberi salam, lelaki itu pun datang kepadanya seraya berkata "Apakah kau berani berdoa begitu terhadap Allah? Lebih baik kau katakan begini " Ya Allah , demi kasihku terhadapmu supaya Engkau membantuku, maafkanlah daku." Kata gadis itu "Wahai Tuan, kalau tidak kerana kasihNya terhadapku, sudah tentu Dia tidak akan membangunkan aku pada ketika ini dan mendirikan aku di hadapanNya serta menjadikan aku berdoa kepadaNya."
Perhatikanlah wahai saudara, inilah tauhid yang sayugia bagi setiap kita memiliki dan menghayatinya. Bagaimana anda berterima kasih kepada Allah yang memberi taufik untuk anda melakukan taat? Inilah prinsip yang ditekankan oleh pengarang kitab Jauharatul Tauhid dan semua Ulamak Akidah ketika mereka berkata "Sekiranya diberi pahala adalah kerana kurniaanNya semata-mata." Kemudian mereka menyambung "Sekiranya diazab adalah kerana keadilanNya."
Kekadang terlintas juga di fikiran persoalan yang kedua : Apabila prinsip ini berlaku, maka apa makna firman Allah ((Masuklah ke dalam syurga dengan sebab apa yang kamu telah lakukan))An-Nahl 32. Lagi pun Allah banyak mengulangi ayat ini di tempat yang lain. Saya akan memberi anda jawapan yang akan menambah kecintaan anda terhadap Allah dan akan menambah perasaan kehambaan terhadap Allah.
Pengulangan dari sudut yang sama iaitu keesaan Allah Taala, bukan dari dua sudut yang berlainan. Allah memberi taufik untuk anda beramal, lagi Dia mengilhamkan anda jalan yang benar dan Dia juga yang memimpin tangan anda menuju ke pintuNya untuk berdoa "Ya Allah, tidak ada daya upayaku melainkan dengan pertolonganMu, ubun-ubunku di tanganMu, Engkau menggerakkannya seperti yang Engkau kehendaki. Tariklah ubun-ubunku ke jalan kebahagiaan dengan bimbinganMu." Maka Allah memustajabkan permintaan, melapangkan dada anda ke arah kebaikan, memberi anda taufik untuk beramal soleh kemudian Dia berfirman terhadap anda ((Masuklah syurga dengan sebab apa yang telah anda lakukan)). Tidakkah firman dari Allah Azza WaJalla itu memberi makna segala keredhaan yang berlaku di antara anda dan di antaraNya diumpamakan seperti keredhaan di antara penjual dan pembeli?
Sekali-kali tidak, Maha Suci Allah, sesungguhnya Allah Azza WaJalla menisbahkan segala kurniaan dan sifat ihsanNya itu kepada diri anda sebagai amal perbuatan anda yang menjadi sebab untuk memasuki syurgaNya. Hanya Allah melakukannya demi kehormatan anda sendiri padahal amal perbuatan anda itu pun adalah Dia yang menciptakannya.
Jika anda enggan untuk menyelami pengertian ini, tentu anda akan mengambarkan persoalan antara Tuhan dan hambaNya seperti bertukar ganti hak Allah dengan hak hamba umpama penjual dan pembeli. Anda akan membawa dakwaan ini sehingga hari kiamat dan anda akan berkata kepada Allah Taala "Sesungguhnya aku berhak mendapatkan syurga dan kekal di dalamnya dengan sebab amal perbuatanku yang Engkau tuntut supaya aku melakukannya." Namun hasratnya bahawa Allah Azza WaJalla akan mengheret anda kepada perbicaraan ringan di mahkamahNya untuk di'adili sehingga tidak tinggal satu pun dari hak anda yang anda nisbahkan terhadap diri anda dan luput segala-galanya di bawah kekuasaan Allah dalam keadaan anda hanya berhajat kepada pertolonganNya dan taufik petunjukNya semata-mata.
Barangkali perumpamaan ini lebih mendekati kefahaman. Seorang ayah memberi galakan terhadap anaknya untuk melakukan kebaikan "Jika anak pergi membawa wang ini untuk diberikan kepada fakir miskin, ayah akan memberikan sebuah hadiah." Ayah itu pun mengambil wang dan dimasukkan ke dalam uncang lalu diberikan uncang itu kepada anaknya. Anaknya pun mengambil uncang itu dan pergi mencari fakir miskin dengan bercita-cita untuk mendapat hadiah dari ayahnya. Anak itu pun berjayalah memberikan kepada fakir miskin lalu berkata ayah menggembirakan anaknya "Sesungguhnya anak telah melakukan amal kemanusiaan, tidak syak lagi bahawa anak telah layak mendapat habuan yang besar sebagai hadiah dan upah yang sangat setimpal."
Inilah perbuatan bijaksana seorang ayah mendidik anaknya. Tidak syak lagi bahawa anak itu sangat mengetahui bahawa wang di dalam uncang itu adalah wang kepunyaan ayahnya yang diberikan kepadanya untuk menjayakan perbuatan baik memberi kepada fakir miskin.. Inilah gambaran galakan kepada anak itu untuk mendapatkan bayaran hadiah yang lebih baik setelah berjaya membayar sedikit kepada fakir miskin dan berjaya melakukan amal kemanusiaan. Itulah umpamanya Allah berfirman ((Masuklah syurga dengan sebab apa yang kamu lakukan dari kebaikan)). Tidakkah anda mengetahui bahawa sesungguhnya perbuatan baik yang anda lakukan itu adalah milik Allah? Syurga itu pun milik Allah yang dihadiahkan kepada anda?
Diceritakan di dalam sebuah hadis bahawa seorang hamba Allah dihadapkan ke mahkamah Allah. Dia pun berkata "Wahai Tuhanku, Engkau menghitung amalanku dengan penuh keadilan dan aku menuntut hakku kerana aku telah hidup di dunia dan tidak sekali pun aku derhaka terhadap perintahmu." Tiba-tiba Allah menyebut tentang dua biji mata yang dirasai nikmat melihat dengannya "Adakah kau tunaikan hak kesyukuran untuk mata ini setiap saat?" Allah Taala pun meletakkan kedua matanya di sebelah dacing kiri dan segala kebaikan yang dilakukannya di sebelah dacing kanan. Maka dacing di sebelah kiri itu pun memberati dan menghapuskan segala kebaikan yang dilakukan oleh hamba itu berbanding dengan nikmat kebaikan Allah pada kedua mata itu setiap saat di dunia.
Saya pernah mendengar bapaku rah.a berdoa "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu, tetapi Engkau juga yang mengilhamkan kesyukuranku itu. Aku ini berhajat kepada taufik hidayatMu untuk aku bersyukur kepadaMu. Pada ketika bersambung-sambung pekerjaan, maka Engkau yang menciptakan setiap sesuatu sedangkan Engkau maha baik terhadapku dalam setiap keadaanku."
Sebahagian dari orang soleh telah melihat di dalam mimpi lelaki-lelaki ketuhanan yang telah wafat. Seorang telah bertanya kepada lelaki itu "Apakah yang telah dilakukan Tuhanmu tehadapmu?" Jawab lelaki itu "Allah telah membawa aku berdiri di antara hadapanNya" aku pun bertanya "Kenapa Allah membawa aku ke sini? Ya Tuhanku, aku hambaMu dan seorang hamba tidak memiliki sesuatu apa pun yang hendak diberikan kepada tuannya. Aku hanya rakus untuk mengharapkan kemaafanMu dan bercita-cita untuk mendapatkan kemuliaan di sisiMu."
Tidakkah anda melihat sifat kehambaan itu?...Begitulah yang akan terjadi esok kelak di akhirat. Siapa yang tidak dapat merasainya pada hari ini, nescaya akan merasainya di akhirat kelak.
No comments :
Post a Comment